SANDWICH (England): Pusingan kedua Terbuka British bermula semalam dengan pemain amatur Inggeris, Tom Lewis (atas) dan pemain veteran Denmark, Thomas Bjorn menaruh harapan untuk mengekalkan kedudukan pendahulu.
“Ia cuma satu hari. Saya yakin saya tidak mampu merakam empat (catatan) 65. Saya bakal berdepan cabaran sukar tetapi selagi saya mengurangkan kesilapan, ia sudah cukup menggembirakan,” kata Lewis yang turun dalam kumpulan sama dengan Tom Watson - pemain legenda yang menjadi idola bapa Lewis ketika menamakannya.
Bjorn pula, yang menyertai kejohanan pada saat akhir selepas Vijay Singh menarik diri akibat kecederaan, mempamerkan jalan cerita berbeza kelmarin apabila kembali ke saingan berkenaan selepas kegagalannya muncul juara pada 2003.
Dalam penampilan terakhirnya di St George lapan tahun lalu, Bjorn mensia-siakan kelebihan tiga pukulan dengan hanya empat lubang berbaki yang menyaksikan pemain tidak ternama dari Amerika Syarikat (AS), Ben Curtis merampas tempatnya untuk menjulang trofi Auld Claret Jug.
Tiga pemain - Miguel Angel Jimenez dari Sepanyol dan Lucas Glover serta Webb Simpson dari AS ketinggalan satu pukulan di belakang pendahulu. Seramai 12 pemain lain berada di kelompok ketiga - tiga pukulan di belakang pendahulu - termasuk juara PGA AS, Martin Kaymer dan juara Terbuka AS 2010, Graeme McDowell.
Pilihan utama kejohanan, Rory McIlroy yang baru dinobat juara Terbuka AS tahun ini, enam pukulan di belakang Lewis dan Bjorn selepas mencatat satu atas par, 71, bersama dua pemain Inggeris, Luke Donald dan Lee Westwood. – AFP
No comments:
Post a Comment